iklan adsen

Search This Blog

Saturday, October 17, 2020

Covid-19 – Peniaga-peniaga kecil teruslah berjuang


 Oleh : Ibnu Janie

PENGUMUMAN Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa belum masanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dilaksanakan semula sebenarnya agak melegakan golongan peniaga.

Memang ramai yang meminta agar kerajaan melaksanakan semula PKP melihatkan kepada peningkatan mendadak kes Covid-19 akhir-akhir ini. Dan memang benar jika dibandingkan semasa PKP mula dilaksanakan dulu pun, ketika itu jumlahnya jauh lebih rendah daripada yang kita lihat satu dua hari ini. Jadi mengapa pada masa itu kita laksanakan PKP? Mengapa sekarang tidak? Pada hal sekarang jauh lebih tinggi.

Norma baharu dan normal baharu

Namun kita kena faham pada masa itu rakyat Malaysia masih belum terbiasa lagi dengan norma baharu (peraturan baharu), normal baharu (kebiasaan baharu) dan penjarakan fizikal yang banyak mengurangkan risiko jangkitan.

Pada masa awal perlaksanaan PKP dahulu kita belum lagi melaksanakan pendaftaran setiap kali memasuki sesuatu premis. Pada masa itu juga kita belum lagi melaksanakan kaedah penjarakan dalam saf solat di masjid-masjid dan surau-surau seperti sekarang.

Semasa berlaku ‘lockdown’ kita terus tidak boleh ke masjid, melepak di kedai makan dan menaiki bas ekspres. Selepas PKP dilonggarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kemudian dilonggarkan lagi kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) barulah kita dididik dengan norma dan normal baharu.

Sekarang ini untuk masuk ke masjid dan surau pun kena daftar maklumat peribadi agar mudah dihubungi jika berlaku situasi ada pembawa Covid-19 pernah mengunjungi lokasi itu pada masa yang sama. Teknik ini adalah satu sistem kawalan yang berguna jika sesuatu kes baharu dapat dikesan. Jika tidak, pada masa awal-awal wabak ini merebak dulu, kita terpaksa membuat pengumuman awam sesiapa yang pernah berada di sesuatu lokasi yang pernah dihadiri oleh mangsa wabak ini.

Maknanya pada masa ini dengan sistem yang telah kita adaptasi sepanjang tempoh PKP yang kita panggil sebagai norma baharu dan normal baharu ini menjadikan kita lebih mempunyai mekanisme kawalan berbanding semasa awal-awal dahulu. Namun ia juga bukan bermakna kita sudah kebal dari Covid-19, cuma kita lebih tahu bagaimana untuk mengelakkan wabak ini dari terus merebak dengan bantuan sistem ini.

Kerajaan memang perlu mengimbangkan antara tuntutan untuk menjaga nyawa rakyat dengan keperluan untuk mengelakkan rakyat daripada hilang sumber pendapatan dalam membuat keputusan samada untuk melaksanakan semula PKP atau tidak.

Sekiranya PKPB sekali pun dilaksanakan banyak perniagaan kecil akan terjejas. Contohnya pasar malam yang menjadi nadi rakyat marhaen mencari rezeki akan dilarang daripada beroperasi. Begitu juga dengan penjaja-penjaja di tepi jalan.

Lebih buruk lagi, hilangnya sumber pendapatan rakyat juga bermaksud hilang juga sumber pendapatan kerajaan dari sudut cukai. Sedangkan dalam keadaan sekarang kerajaan pula perlu hasil yang banyak untuk berbelanja besar menangani Covid-19. Malah ada sesetengah negara sudah mengumumkan kehabisan dana untuk melawan Covid-19 dan tinggal hanya berserah.

Sekiranya PKP, atau hanya PKPB sekali pun dilaksanakan, memang akan ada perniagaan-perniagaan yang bersifat sensitif dengan kesan Covid-19 akan terjejas.

Kesan besar daripada PKP

Selepas PKP dilonggarkan memang terdapat kesan besar terhadap perubahan dalam dunia perniagaan dalam hal pematuhan SOP Covid-19. Yang paling ketara ialah dari segi kos. Paling kurang pun, semua premis perlu menyediakan ‘sanitizer’ dan segala yang diperlukan untuk mematuhi SOP.

Malah kedai-kedai gunting rambut semasa mula dibenarkan beroperasi selepas PKP dulu turut meminta kebenaran kerajaan untuk menaikkan harga caj menggunting rambut kerana terpaksa menanggung banyak kos dalam memenuhi keperluan SOP.

Selain itu sesetengah perniagaan terpaksa beroperasi pada ‘kapasiti separuh’ sebagai memenuhi syarat penjarakan sosial seperti restoren. Jika sebelum ini sesebuah restoren boleh memuatkan seratus orang pelanggan dalam satu-satu masa, namun dengan SOP, hanya separuh sahaja dari kapasiti asal pelanggan boleh berada di dalam premis pada satu-satu masa. Pengurangan ini mengurangkan hasil pendapatan peniaga-peniaga daripada kategori ini.

Bersedia untuk sebarang kemungkinan

Selepas berlaku peningkatan dalam kes Covid-19 memang perniagaan harus membuat persediaan sekiranya perintah kawalan sedia ada mungkin akan diperketatkan. Malah di beberapa daerah zon merah sekarang ini sudah pun dikuatkuasakan PKPD atau PKPDB iaitu di Klang, Sandakan, Papar dan Tuaran. Isnin lepas pula kerajaan mengumumkan PKPB akan dikuatkuasakan di seluruh Sabah pada 13 Oktober dan seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 Oktober.

Perniagaan yang mempunyai kesan sensitif seperti perniagaan yang melibatkan pelancongan dan pengaturcaraan majlis harus bersedia sekiranya keadaan kembali memburuk. Ia termasuk perniagaan homestay, resort, pengangkutan pelancong, peniaga-peniaga cenderahati, katering, andaman dan pengusaha dewan persendirian.

Bagi peniaga-peniaga yang terkesan dengan Covid-19 mereka perlu cepat melakukan perubahan-perubahan dalam perniagaan mereka ke arah perniagaan yang tidak atau kurang terjejas dengan PKP atau PKPB ini.

Selain menukar produk mungkin peniaga boleh juga menukar model perniagaan. Contohnya pengusaha chalet atau homestay boleh menyewakan rumah atau bilik mereka secara sewaan bulanan dan dijadikan rumah sewa. Ia sekadar cadangan.

Daripada pengamatan penulis semasa PKP dulu perniagaan makanan yang ada penghantaran adalah antara yang mendapat sambutan baik semasa itu.

Sebenarnya di dalam satu-satu kesukaran itu selalunya akan wujud peluang untuk mereka yang sentiasa mencari jalan keluar terhadap sesuatu masalah. Penulis percaya peniaga-peniaga ini lebih arif dalam soal mencari peluang. Semoga semua peniaga-peniaga kecil di luar sana terus tabah mencari rezeki…

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Masjid Tanah Melaka

(Rencana ini juga telah disiarkan di Harakah cetak edisi 16 Oktober 2020)



No comments:

Post a Comment