iklan adsen

Search This Blog

Tuesday, December 22, 2015

TEMPAT MAKAN TENGAHARI POPULAR DI PERLIS

Anjung Keli ialah tempat makan tengahari popular di Perlis. Keli panas, rangup adalah menu utama sini. Bagi penggemar ikan keli dan masakan kampung, kunjungan ke Kangar pasti tidak lengkap jika tidak berkunjung ke Restoran Anjung Keli di Jalan Behor Pulai. Berhampiran masjid dan maktab penguruan perlis.
Restoran berkenaan menampilkan pelbagai jenis masakan kampung yang pasti dapat memenuhi selera ramai.
Sesuai dengan namanya, menu istimewa yang sentiasa menjadi tarikan pelanggan ialah ikan keli goreng panas kerana teksturnya yang rangup dan rasanya segar.
Pengurus Restoran Anjung Keli Azwati Saad berkata, ikan keli diperoleh segar setiap hari bagi memastikan rasa hidangan disediakan lazat untuk dinikmati.
“Dalam sehari kami akan dapatkan 180 kilogram ikan keli, untuk menu berbeza dan hanya ikan segar akan digunakan bagi memastikan lauk disediakan sedap.
“Tiada bahan rahsia untuk menghasilkan lauk-pauk disajikan di sini, namun kesegaran bahan digunakan menjadi kunci utama bagi menghasilkan masakan enak,” kata Azwati.
Selain ikan keli goreng, restoran itu juga menghidangkan lauk kampung seperti ikan keli masak sambal, ikan keli bakar, ikan keli gulai dan ikan keli masak lemak.
Penulis berkesempatan berkunjung ke restoran itu dan turut menikmati beberapa menu lain seperti sotong bakar, ikan kembung masak gulai dan udang masak sambal.
Masakan yang dihidangkan bukan saja enak kerana kesegaran bahan digunakan, malah resipi dan cara masakan turut menjadikan hidangan di situ asli dan enak.
Namun, yang istimewa semestinya hidangan keli goreng yang dihidangkan panas menjadikan hidangan itu rangup di luar tapi lembut dan enak dan tidak hanyir di bahagian isinya.
“Rasa yang enak dan tidak hanyir menjadikan keli goreng pilihan pelanggan dan untuk itu kami akan pastikan pembekal menghantar ikan yang sudah bersih sebelum digoreng,” katanya.
Menurut Azwati, Restoran Anjung Keli menggunakan resipi turun-temurun pemiliknya yang sentiasa menitikberatkan keseimbangan rasa dan rempah-ratus berkualiti.
Terdapat lebih 50 jenis lauk dihidangkan dan restoran itu biasanya dibanjiri pengunjung pada waktu makan tengah hari.
Artikel ini disiarkan pada :
Khamis, 3 Disember 2015 @ 4:59 AM
Harian metro
IKAN keli goreng antara menu menjadi pilihan pelanggan di Restoran Anjung Keli.
- Sumber harian metro


No comments:

Post a Comment